Skip to main content

KAMPUS KEJURUTERAAN SAMBUT 130 PELAJAR MRSM BALIK PULAU DALAM PROGRAM MAHASISWA TURUN SEKOLAH: EDISI UNIVERSITI

DSC 8816

NIBONG TEBAL, 16 Januari 2025 – Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini telah menerima kunjungan seramai 130 pelajar dari Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Balik Pulau, bersama tujuh orang guru pengiring, dalam Program Mahasiswa Turun Sekolah: Edisi Universiti.

Program ini adalah kesinambungan daripada inisiatif “Mahasiswa Turun Sekolah (MTS)” yang telah dilaksanakan di MRSM Balik Pulau pada bulan Jun 2024, seperti yang dinyatakan oleh Penggawa Desasiswa Jaya Lembaran Utama, Puan Hasliza Mat Saad.

Puan Hasliza menjelaskan bahawa beliau segera bersetuju untuk melaksanakan program ini setelah permohonannya diterima pada awal bulan lalu, terutamanya dengan sokongan padu dari Pejabat Pengarah Kampus, Perpustakaan serta Pusat-pusat Pengajian di Kampus Kejuruteraan.

"Semoga program ini memberikan gambaran awal mengenai dunia universiti kepada pelajar sekolah yang terlibat, khususnya di USM,” ujarnya.

DSC 8668 DSC 8688

DSC 8724 DSC 8773

DSC 8873 DSC 8895

“Dengan sokongan daripada 37 orang pelajar-pelajar kita sebagai AJK serta fasilitator, saya berharap program ini dapat menarik minat dan semangat peserta dalam bidang kejuruteraan, sekaligus memberi mereka pengalaman berharga di menara gading.”

Sementara itu, Cikgu Abdul Basit Kader Mydin, Guru Pengiring dan Kaunselor MRSM Balik Pulau, memuji usaha USM dalam merancang program yang selari dengan objektif pendidikan Sains, Teknologi, Enginering dan Matematik (STEM) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ini.

"USM dipilih sebagai lokasi program kerana sebagai Institusi Pengajian Tinggi, ia menawarkan pilihan kursus yang memenuhi kehendak pasaran dan mampu merangsang minat pelajar untuk melanjutkan pengajian di sini," kata beliau.

Cikgu Abdul Basit juga menyatakan bahawa di bawah kendalian penggawa dan fasilitator yang berwibawa, program ini diharapkan dapat merangsang minat pelajar MRSM untuk meneruskan pengajian dalam bidang kejuruteraan, khususnya di USM selepas ini.

DSC 8788 DSC 8791

DSC 8822 DSC 8850

WhatsApp Image 2025 01 16 at 17.19.13 WhatsApp Image 2025 01 16 at 18.00.36 

 “Selainpengisian aktiviti telah disusun dengan baik bagi memenuhi kehendak dan objektif yang ditetapkan, fasilitator yang terlibat juga telah menunjukkan kesediaan yang tinggi,” kata beliau.

“Semoga program ini dapat meningkatkan pengetahuan pelajar mengenai bidang STEM dan TVET, menjadikan bidang-bidang kejuruteraan sebagai pilihan selepas Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) nanti,” ujarnya.

Dalam program anjuran Jawatankuasa Eksekutif Akademia dan Kesejahteraan Siswa Majlis Penghuni Desasiswa Jaya Lembaran Utama Sidang Akademik 2024/2025 kali ini, pelajar turut berpeluang melawat Perpustakaan serta Pusat-pusat Pengajian di Kampus Kejuruteraan, iaitu Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Pusat Pengajian Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral, Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman