KAMPUS KEJURUTERAAN PENERAJU PENYELIDIKAN SEMIKONDUKTOR, DAN KEBOLEHPASARAN GRADUAN
NIBONG TEBAL, 18 Februari 2025 – Kampus Kejuruteraan terus menyumbang dalam memperkukuh kedudukan Universiti Sains Malaysia (USM) sebagai universiti bertaraf dunia dengan pencapaian cemerlang dalam penyelidikan semikonduktor dan kebolehpasaran graduan.
Pencapaian ini antara yang dibentangkan oleh Naib Canselor, Profesor Dato’ Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed sempena Majlis Perutusan Naib Canselor 2025 peringkat Kampus Kejuruteraan di sini hari ini.
Menurut beliau, USM kini adalah universiti pertama di Asia Tenggara yang diberi akses kepada Process Design Kit (PDK) Fin Field Effect Transistor (FINFET) 16 nanometer oleh Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC).
“Melalui pusat penyelidikan Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC), kita kini berupaya mereka bentuk litar bersepadu (IC design) menggunakan teknologi transistor FINFET yang canggih,” ujarnya.
“Kejayaan ini menjadikan USM sebagai universiti pertama di luar Taiwan yang menyertai program kerjasama dengan Taiwan Semiconductor Research Institute (TSRI) tersebut, sekali gus membuktikan keupayaan USM untuk bersaing di peringkat antarabangsa,” kata Rahman.
Tambah beliau, kerjasama TSMC–TSRI–USM ini juga akan membuka peluang kepada USM untuk mengembangkan kemahiran dan pengetahuan dalam industri semikonduktor, selain memperkukuh penyelidikan serta pembangunan bakat pada peringkat global.
Sementara itu, dalam usaha memastikan graduan USM terus bersedia menghadapi cabaran industri, beliau menyatakan bahawa universiti sedang memperkasakan Polisi Penempatan Industri serta Kebolehpasaran Graduan melalui pelaksanaan program Inkubator Penyelidikan dan Serap Industri Kementerian Pendidikan Tinggi (MRI3).
“Program MRI3, yang merupakan satu program extended internship akan terus diperkasakan oleh USM demi merealisasikan matlamat dalam menghasilkan iFuture Mahasiswa Negara," ujarnya.
“Program ini akan dilaksanakan melalui kaedah penempatan pelajar dengan pihak industri selama satu tahun, di mana projek yang dijalankan bagi projek tahun akhir juga adalah yang berasaskan industri,” kata beliau.
“Dalam menjayakan agenda ini, saya menggesa agar setiap pusat tanggungjawab di USM, terutamanya yang terlibat dalam sektor industri elektrik dan elektronik, untuk lebih proaktif dalam memastikan pelajar mendapat manfaat sepenuhnya melalui program ini,” tambahnya.
Pada majlis ini, Naib Canselor turut merasmikan program Santai Sihat @ Kejuruteraan, sebuah program baharu yang bertujuan untuk meningkatkan kesejahteraan warga kampus melalui aktiviti fizikal dalam apa jua acara sukan.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman