Skip to main content

STAF KAMPUS KEJURUTERAAN CEMERLANG! REMY, JUNAIDAH LAYAK KE MAKSAK 2025 PERINGKAT KEBANGSAAN

480691079 1170005898466028 870017968963542587 n

NIBONG TEBAL, 26 Februari 2025 – Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) sekali lagi melakar kejayaan apabila dua daripada kakitangannya telah terpilih mewakili Negeri Pulau Pinang ke peringkat kebangsaan di Kejohanan Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan Malaysia (MAKSAK) dalam acara Petanque.

Profesor Madya Dr. Mohd Remy Rozainy Mohd Arif Zainol dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam dan Junaidah Abdullah dari Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar, masing-masing berjaya menempah tempat selepas mempamerkan prestasi cemerlang dalam pertandingan di peringkat negeri  pada 22 Februari 2025 lalu.

Pencapaian berganda buat Junaidah apabila beliau dinobatkan sebagai Johan dalam Kategori Wanita, membuktikan dedikasi serta komitmennya dalam sukan ini.

Kejayaan Remy dan Junaidah ini, bukan sahaja telah mengharumkan nama USM, malah turut mempamerkan peranan universiti ini dalam menyokong pembangunan sukan, seterusnya meningkatkan kecemerlangan para atlet dalam kalangan stafnya.

IMG 0603 IMG 0604

Kedua-dua atlet ini, kini sedang mempersiapkan diri dengan menjalani latihan intensif untuk bertanding dalam kejohanan MAKSAK peringkat kebangsaan tersebut yang dijadualkan berlangsung pada April 2025 akan datang bagi mempersembahkan prestasi terbaik  nanti.

Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, mewakili Jawatankuasa Pengurusan Kampus Kejuruteraan merakamkan ucapan tahniah dan selamat maju jaya kepada mereka berdua dalam membawa nama universiti pada pertandingan di peringkat kebangsaan itu nanti.

“Semoga kejayaan anda berdua akan menjadi inspirasi kepada warga USM untuk terus aktif dalam bidang sukan sambil kekal cemerlang dalam pelbagai lapangan,” ujarnya.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Ihsan Profesor Madya Dr. Mohd Remy Rozainy Mohd Arif Zainol dan Junaidah Abdullah