USM PERKUKUH PERANAN APEL, BUKA PELUANG PENDIDIKAN TINGGI KEPADA GOLONGAN PROFESIONAL
PULAU PINANG, 28 Februari 2025 – Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, bersama Profesor Madya Dr. Asrulnizam Abd Manaf, Pengarah Pusat Usahasama Kecemerlangan Rekabentuk Mikroelektronik (CEDEC) baru-baru ini telah mengadakan lawatan rasmi ke Pusat Penilaian APEL (PPA USM) di Pusat Pengajian Jarak Jauh (PPJJ), USM.
Lawatan ini disambut baik oleh pihak Pengurusan PPJJ dan penyelaras PPA USM, yang turut berkongsi maklumat berkenaan pelaksanaan Pengakreditan Pembelajaran Berdasarkan Pengalaman Terdahulu (APEL) di USM.
APEL merupakan satu inisiatif yang memberi peluang kepada individu berpengalaman kerja tetapi mempunyai kelayakan akademik yang terhad atau tiada kelayakan formal untuk menyambung pengajian di Institusi Pengajian Tinggi.
Sebagai salah satu Pusat Penilaian APEL yang diiktiraf, USM memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses pendidikan tinggi kepada golongan profesional yang ingin meningkatkan kemahiran dan memperoleh sijil akademik yang diiktiraf.
Menurut Mariatti, Kampus Kejuruteraan kini dalam usaha menarik minat calon yang memiliki pengalaman luas dalam bidang semikonduktor untuk melanjutkan pengajian melalui APEL, sekali gus melahirkan graduan berkualiti yang memenuhi keperluan industri.
“Inisiatif ini juga menyokong unjuran Strategik Semikonduktor Kebangsaan, yang mensasarkan untuk melahirkan 60,000 jurutera semikonduktor dalam tempoh lima tahun akan datang,” ujarnya.
“Melalui usaha ini, USM akan terus memperkukuh peranannya dalam menyediakan laluan fleksibel kepada tenaga kerja industri untuk meningkatkan pengetahuan serta kemahiran, seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan sektor teknologi dan kejuruteraan negara,” tambah beliau.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Ihsan Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh