KAMPUS KEJURUTERAAN USM TERIMA KUNJUNGAN WAKIL UNIVERSITY OF BATH
NIBONG TEBAL, 28 Februari 2025 – Dalam usaha memperkukuh hubungan akademik dan penyelidikan, Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) telah menerima lawatan daripada Associate Dean (International), Faculty of Engineering and Design, University of Bath, Profesor Dr. Mirella Di Lorenzo.
Dalam lawatan ini, Mirella disambut oleh Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Ir. Dr. Mariatti Jaafar @ Mustapha, melalui sesi perbincangan yang turut disertai oleh Dekan-dekan Pusat, Timbalan Dekan, serta wakil-wakil Pusat Pengajian di Kampus Kejuruteraan.
Perbincangan yang berlangsung di Bilik Mesyuarat, Pejabat Pengarah ini memberi tumpuan kepada potensi kerjasama akademik dan penyelidikan, termasuk program pertukaran pelajar dan staf, kolaborasi penyelidikan, permohonan geran bersama, serta penerbitan ilmiah antara kedua-dua buah institusi.
Sebagai langkah awal ke arah jalinan kerjasama lebih erat, kedua-dua pihak, melalui perbincangan yang diadakan turut bersetuju untuk menganjurkan webinar secara dalam talian dalam masa terdekat.
Selain daripada itu, Mirella turut berkesempatan melawat Pusat Pengajian Kejuruteraan Aeroangkasa dan Pusat Penyelidikan Sains dan Kejruruteraan (SERC) untuk melihat lebih dekat projek penyelidikan serta kemudahan makmal yang terdapat di institusi ini.