CAREER FEST 2025, MANIFESTASI KOMITMEN USM DALAM PEMBANGUNAN HOLISTIK PELAJAR
NIBONG TEBAL, 23 April 2025 – Universiti Sains Malaysia (USM) terus melakar langkah proaktif dalam pembangunan sahsiah dan potensi pelajarnya melalui perasmian program Career Fest (CF) 2025 yang diadakan di Kampus Kejuruteraan hari ini.
Naib Canselor USM, Profesor Dato' Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dalam ucapan perasmiannya menyatakan bahawa CF 2025 bukan sekadar sebuah pameran kerjaya, tetapi merupakan satu festival pembangunan insan yang menyeluruh dan bersifat holistik.
“Career Fest 2025 merangkumi empat subprogram utama yang disusun secara strategik serta holistik bagi memenuhi keperluan pelajar masa kini,” ujar beliau.
“Pendekatan ini bukan sahaja memberi maklumat berkaitan kerjaya, tetapi turut memupuk keyakinan diri, memperluas rangkaian profesional dan sosial pelajar, serta memperkayakan pengalaman kampus mereka,” katanya.
Dalam majlis tersebut, beliau turut menyambut baik pelaksanaan Program GearUP MARA, sebuah inisiatif bersama Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang melibatkan penyertaan 100 pelajar lepasan SPM daripada keluarga B40 di Pulau Pinang.
“Program ini memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran komunikasi, kepimpinan, dan keyakinan diri, seterusnya membuka laluan yang lebih luas kepada pendidikan tinggi,” katanya sambil menegaskan pentingnya kolaborasi strategik seperti ini dalam mencapai misi USM melahirkan graduan yang cemerlang akademik serta kompeten.
Selain mengalu-alukan penyertaan pelajar dari Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta (IPTA/IPTS) seluruh negara, Naib Canselor USM menyeru agar semua peserta memanfaatkan sepenuhnya peluang yang disediakan.
Beliau juga turut menyatakan ucapan penghargaan kepada para penaja Platinum dan Gold program, serta wakil industri yang terus menyokong inisiatif pembangunan pelajar seperti CF 2025 ini.
Sementara itu, Pengarah CF 2025, Muhammad Wafiq Mazlan dalam ucapannya menyatakan bahawa pembangunan insan tidak seharusnya terhad kepada bilik kuliah semata-mata dan kesemua aktiviti Career Fest ini dirangka untuk menggilap potensi pelajar dari pelbagai aspek.
“Ianya termasuk kemahiran komunikasi, keyakinan diri, daya saing global serta keseimbangan emosi dan ekspresi masing-masing, sejajar dengan aspirasi universiti untuk membentuk mahasiswa beratribut HEBAT,” kata beliau.
Antara program-program lain yang diketengahkan pada Career Fest kali ini adalah termasuk Career Fair, yang melibatkan lebih 68 syarikat dari pelbagai industri; Konvensyen Kejuruteraan, yang menjadi pentas intelektual membincangkan isu semasa dan masa depan kejuruteraan; Night of Music Festival yang bakal berlangsung malam ini untuk meraikan bakat seni warga kampus dan komuniti; serta Mutiara Street Attractions yang menghimpunkan vendor, trak makanan dan zon e-sukan.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman