Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

KAMPUS KEJURUTERAAN JADI PILIHAN JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA (JBPM)

Bomba 6646

NIBONG TEBAL, 31 Mac 2015 – Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) bakal dihuni oleh lebih 800 anggota dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) sempena Pertandingan Kawad Kecekapan Operasi Kebombaan Peringkat Kebangsaan Kali ke 17 Tahun 2015.

Menurut Penolong Ketua Pengarah, Bahagian Latihan, JBPM, Tuan Mohammad Hamdan Haji Wahid, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) amat berbesar hati dan bersyukur kerana Universiti Sains Malaysia (USM) bersetuju membenarkan Kampus Kejuruteraan digunakan sebagai lokasi utama bagi pertandingan tersebut.

Bomba 6679

“Saya sangat berpuas hati dengan lokasi yang dipilih oleh pihak pengurusan Bomba dan hasil lawatan hari ini saya boleh kata Kampus Kejuruteraan merupakan lokasi yang sesuai untuk program yang akan mengumpulkan lebih 800 anggota dan pegawai kami untuk program ini”, kata Hamdan ditemui semasa lawatan disini.

Beliau turut berpuas hati dengan kemudahan yang ditawarkan di kampus ini dan mengesahkan bahawa Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menggunakan kemudahan yang serba lengkap disini sepanjang program yang akan berlangsung selama seminggu bermula 14 Ogos tahun ini.

Beliau berkata, beberapa lokasi yang telah dikenalpasti termasuk Dewan Utama, Dewan Kuliah, Padang Kawad Kompleks Sukan, kawasan parkir bersebelahan gelanggang paintball dan laluan basikal dari Desasiswa ke Pusat Pengajian.

Bomba 6704

Selain itu, ketiga-tiga Desasiswa disini turut akan digunakan sebagai tempat penginapan peserta dan urusetia.

Turut sama dalam lawatan, Ketua Pengajian, Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia, Tuan Md. Ali Ismail serta beberapa pegawai dari Ibu Pejabat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pulau Pinang.

Hamdan yang juga merupakan ketua delegasi lawatan mengucapkan terima kasih kepada pegawai Universiti Sains Malaysia (USM) yang mengiringi beliau ke setiap lokasi yang dikenalpasti dan beliau bersetuju supaya satu mesyuarat bersama dilaksanakan antara kedua pihak bagi memastikan program berjalan lancar.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Shafizan Zookiffli