Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

KEPUASAN DALAM MELAKSANAKAN TUGAS MERUPAKAN PERKARA PENTING, KATA PROF. DR. ABDUL LATIF AHMAD

Latif-Kepuasan-6555

NIBONG TEBAL, 2 April 2015 – Kepuasan dalam melaksanakan sesuatu tugasan atau kerja merupakan perkara yang penting dalam memastikan kejayaan yang cemerlang dalam apa juga bidang yang diceburi.  

Demikian pandangan Pensyarah Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. Abdul Latif Ahmad dalam pertemuan di pejabatnya disini baru-baru ini.

Beliau yang merupakan penerima Anugerah Merdeka bagi tahun 2014 dan tersenarai dalam Thomson Reuters sebagai World’s Best and Brightest Scientific Minds melalui laporan The World’s Most Influential Scientific Minds: 2014, tidak lokek bercerita mengenai pengalaman sepanjang berada di USM.

Dalam pada itu, Latif, 47, turut menerima tajaan peralatan makmal khas bernilai RM50,000 dari pengeluar terkemuka berasal dari Jerman, IKA Works (Asia) Sdn. Bhd. (IKA) dalam satu majlis rasmi yang diadakan di Kampus Induk pada bulan Mac yang lalu.

“Secara jujur, semenjak pulang dari luar negara saya melaksanakan tugas sebagai pensyarah, penyelidik dan dalam masa yang sama memegang beberapa jawatan pentadbiran sehingga menjawat jawatan sebagai Dekan selama tempoh lima tahun”, kata Latif.

Latif-Kepuasan-6573

“Sebelum ini, saya terpaksa berkorban tenaga dan masa dalam banyak perkara termasuk pengajaran, penyelidikan, pentadbiran dan yang paling terkesan sekali adalah masa bersama keluarga”, katanya lagi.

Walau bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa semua tugas yang diamanahkan dapat dilaksanakan dengan baik dan dengan ikhlas demi bangsa, agama, negara dan universiti yang dicintai.

Menurutnya lagi, sebagai warga universiti terdapat beberapa peringkat dalam perkembangan kareer seseorang staf iaitu untuk pembangunan diri sendiri, untuk membangunkan pusat pengajian dan universiti serta akhirnya menyumbang kepada masyarakat.

Ditanya tentang pencapaiannya selama menerajui Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia USM, Latif berkata, “selama tempoh 5 tahun menjadi Dekan disini, saya merasakan saya telah melaksanakan tugas saya dengan baik dan hasilnya kita semua dapat lihat sekarang ini”.
Beliau berbangga dengan pelbagai kejayaan yang ditempa oleh Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia kini selepas melalui fasa-fasa pembangunan sejak awal berpindah ke sini pada tahun 2001 dan proses tersebut lebih rancak mulai tahun 2005 sehingga 2010 dimana beliau merupakan Dekan pada ketika itu.

Tambah Latif, sejak awal lagi, pusat pengajian sememangnya mempunyai landasan yang baik untuk berkembang. Potensi dan bakat yang ada harus pandai digilap supaya ianya boleh terus menyerlah.

Latif-Kepuasan-6587

“Sebenarnya, dalam membangunkan sesuatu kita akan merasakan sedikit kesusahan pada peringkat awal perubahan dalam kita memupuk mereka untuk menjadi yang terbaik. Apabila sesuatu proses transformasi dan pembudayaan telah berjaya diterap dan ditanamkan dalam kalangan staff, maka  proses perkembangan selanjutnya menjadi  lebih mudah”, tegas Latif.

“Saya melihat bahawa Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia akan menjadi hebat dan akan terus menjadi Pusat Pengajian terkemuka selepas saya turun dari menjadi Dekan dan pada hari ini kita dapat lihat kejuruteraan kimia berada ditahap mana”,

“Sebagai individu saya berpuas hati kerana semasa saya menjadi Dekan saya merasakan saya telah menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan dengan baik, I have done it”, tegasnya lagi.

“Kita jangan melakukan sesuatu kerja yang sama, jika kita sudah melakukan sesuatu perkara dengan baik dan cuba mencari sesuatu yang lain yang boleh kita sumbangkan kepada organisasi, negara dan keluarga dan apa yang penting kita mesti jelas dengan apa yang kita ingin buat serta niat ikhlas dalam kita melaksanakan sesuatu”, nasihat beliau kepada warga universiti terutamanya kepada pensyarah muda.

Latif-Kepuasan-6616

“Harapan saya yang berbaki 12 tahun perkhidmatan ini, supaya saya dapat mengkomersialkan penyelidikan dalam bentuk produk dan digunakan oleh industri serta pengguna dan yang kedua menjadi mentor untuk membantu pensyarah-pensyarah muda menjadi cemerlang dalam tempoh lebih singkat berbanding dengan masa yang saya ambil justeru sebelum saya bersara kelak sempat melihat kejayaan-kejayaan ini, bak kata orang sempat nak menuai setelah letih menebas, membajak dan sebagainya,” katanya di akhir pertemuan.

Disamping itu, beliau yang berjaya membawa pulang sijil, plak dan wang tunai sebanyak RM500,000 dalam Anugerah Merdeka tahun lalu turut menyatakan kepuasan kerana buat masa ini beliau tidak terikat dengan apa-apa jawatan pentadbiran di universiti, maka beliau mempunyai lebih banyak masa dan lebih mudah untuk menyumbang bakti di peringkat kebangsaan.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Shafizan Zookiffli