Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

KERJASAMA UNIVERSITI SERANTAU TANGANI BENCANA

Disater DSC4063

NIBONG TEBAL, 18 Mac 2016 – Universiti Sains Malaysia (USM) dan beberapa universiti lain dari luar negara melancarkan kerjasama serantau melalui Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam dalam program “Disaster Resilience Education Capacity Building in South-East Asia’ di sini hari ini.

Penolong Naib Canselor, Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata tujuan projek tersebut adalah untuk mewujudkan sinergi serantau antara institusi pengajian tinggi terkemuka sambil membina kapasiti negara-negara ASEAN dalam menangani secara proaktif risiko bencana dan membina daya tahan melalui pendidikan.

Disaster DSC3979

“Saya kira, dengan projek ini, kita dapat membina keupayaan serantau dan berkongsi pengetahuan dalam bidang daya tahan bencana dan pengurangan risiko”, kata Ahmad Farhan yang juga merupakan Dekan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam.

Tambahnya, program diharap dapat membentuk rangkaian serantau yang teguh dengan keupayaan kolektif dan merupakan inisiatif untuk menerajui dan melindungi masyarakat daripada kejutan dalam bentuk fizikal, sosio-budaya, politik, ekonomi dan alam semula jadi.

Projek ini membolehkan peserta mewujudkan kerjasama jangka panjang dalam pelbagai disiplin seterusnya mengiktiraf dan meraikan kepelbagaian pengetahuan.

Selain hubungan yang kukuh dan membina penyelidikan dalam bidang daya tahan bencana serta pertukaran budaya yang berlaku sepanjang kerjasama ini, ia dilihat membolehkan wujudnya peluang penglibatan jangka panjang bukan sahaja kepada institusi pendidikan tetapi juga kepada badan kerajaan lain malah kepada sektor swasta.

Disaster DSC4005

Universiti yang terlibat dalam projek ini iaitu The University of Newcastle (Australia) selaku peneraju program dan disertai oleh Institut Teknologi Asia (AIT, Thailand), University of Philippines (UP) dan Universiti Kebangsaan Kejuruteraan Awam (NICE, Vietnam).

Seramai tujuh orang ahli akademik yang terlibat dalam perbincangan dan pembentangan iaitu Dr. Jason Von Meding (UON), Dr. Jamie Mackee (UON), Dr. Thayaparan Gajendran (UON), Dr. Indrajit Pal (AIT), Dr. Mario R. Delos Reyes (UP), Dr. Pham Hung Cuong (NICE) dan Dr. Sharifah Akmam Syed Zakaria (USM).

Setiap institusi membawa kepakaran dan disiplin yang unik dalam bidang masing- masing iaitu USM dalam bidang kejuruteraan awam dan alam sekitar, NUCE dan AIT dalam perancangan bandar dan wilayah manakala UON dalam senibina dan pengurusan pembinaan.

Disaster DSC4015Hadir sama dalam majlis pelancaran ialah Setiausaha Kedua, Suruhanjaya Tinggi Australia, Katelyn Hornby, Timbalan Pengarah Kejuruteraan, Majlis Perbandaran Seberang Perai, Hj. Baderul Amin Abdul Hamid dan beberapa pensyarah serta pelajar dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam.

Teks: Mohd Kamil Ashar / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin