Skip to main content

PELAJAR TAHUN AKHIR DISARAN HARGAI PELUANG

NIBONG TEBAL, 1 Mac 2017 – Pelajar tahun akhir Kejuruteraan seharusnya lebih bersedia dalam merebut dan menghargai setiap peluang pekerjaan yang ditawarkan.

 

Berikut adalah seperti dinyatakan oleh Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (PPKEE), Profesor Dr. Mohd Rizal Arshad ketika merasmikan Program Industry Connection @ E&M 2017 di sini hari ini.

“Dunia pekerjaan akan menjadi fasa baharu dalam evolusi pekerjaan masing-masing dan seharusnya pelajar mengambil serius akan perkara ini,” tambah beliau.

Program usahasama antara PPKEE dan Penjabat Pengarah (PP) Kampus Kejuruteraan melibatkan penyertaan pameran dari tujuh buah syarikat di sekitar Pulau Pinang iaitu Keysight Technologies Malaysia, Intel Malaysia, Aemulus, National Instruments, DDMan, Hotayi Electronic dan Micro Modular System.

Mohd Rizal turut menggalakkan pelajar yang hadir untuk mendapatkan sebanyak mungkin maklumat melalui pameran yang dijalankan dan seterusnya akan memudahkan mereka untuk membuat pemilihan yang tepat kelak.

“Secara langsung kehadiran syarikat-syarikat ini akan menjadi faktor yang memudahkan dan akan membuka minda pelajar-pelajar tahun akhir khususnya untuk terus mendapat pekerjaan sebaik tamat belajar memandangkan sesi temuduga turut diadakan,” kata Mohd Rizal.

Pada sebelah petang di majlis yang sama turut dia adakan sesi taklimat ringkas yang disampaikan oleh wakil-wakil syarikat yang terlibat kepada lebih kurang 300 pelajar tahun tiga dan empat Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik serta Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik.

Majlis yang turut dihadiri oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan, Siswazah & Penyelidikan) PPKEE, Profesor Dr. Mohd Fadzil Ain ini berakhir pada jam 5.30 petang.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin & Faisal Mohamad.