KAMPUS KEJURUTERAAN PERMATA UNIVERSITI - NC
PULAU PINANG, 15 Mac 2017 – Kampus Kejuruteraan sudah sekian lama memainkan peranan penting dalam kecemerlangan Universiti Sains Malaysia (USM) dan sememangnya adalah permata universiti.
Perkara tersebut dinyatakan oleh Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Datuk Dr. Asma Ismail pada majlis makan malam Career Fair 2017 yang berlangsung di sini hari ini.
Asma turut menyatakan bahawa Kampus Kejuruteraan sejak awal penubuhannya telah membina imej sebagai model rujukan kepada kampus-kampus USM dan kampus-kampus universiti yang lain.
“Perkara ini dapat kita buktikan dengan pencapaian USM dari segi kedudukan antara universiti-universiti di seluruh dunia banyak dipengaruhi oleh sumbangan daripada pakar dan ilmuan dari Kampus Kejuruteraan,” tambah Asma.
Career Fair 2017 adalah program tahunan terbesar Kampus Kejuruteraan dengan penyertaan daripada 60 buah syarikat dari dalam serta luar negara berserta kerjasama daripada beberapa agensi swasta seperti Jobstreet.com dan Eastin Hotel Pulau Pinang.
Selain itu, Naib Canselor turut menyarankan agar para pelajar menghargai setiap peluang yang disediakan dengan menonjolkan diri sebagai bakal graduan USM yang bukan sahaja cemerlang dari segi akademik tetapi juga dari segi kemajuan kerjaya.
“Kualiti graduan bidang kejuruteraan USM tidak perlu dipertikaikan lagi pada hari ini dan saya berharap agar graduan kita pada hari ini boleh memacu negara ke dunia masa hadapan yang lebih baik nanti,” tambah beliau.
Bertempat di Dewan Utama Kampus Kejuruteraan, Career Fair 2017 akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 15 hingga 16 Mac 2017.
Turut sama hadir adalah suami kepada Naib Canselor, Dato’ Dr. Ahmad Zakaria,Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pembangunan Pelajar & Alumni, Profesor Dato' Dr. Adnan Bin Hussein, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri Dan Masyarakat, Profesor Dr. Abdul Rahman Bin Mohamed, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik Dan Antarabangsa, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan Pengarah Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria.
Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin