Skip to main content

KONVOI AMAL ANTARA KAMPUS, SIMBOLIK 50 TAHUN USM

DSC 0430

NIBONG TEBAL, 3 April 2019 – Konvoi Amal tiga hari dari Kampus Induk Universiti Sains Malaysia (USM), Institut Perubatan & Pergigian Termaju (IPPT) di Bertam, Kampus Kesihatan, Kelantan dan Kampus Kejuruteraan di Nibong Tebal menjadi simbolik dalam meraikan sambutan 50 tahun USM.

Hari terakhir konvoi yang singgah di Kampus Kejuruteraan baru-baru ini menyaksikan penyertaan Pendaftar USM, Dr Musa Ali dan Pengarah Kampus, Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria yang turut menunggang motosikal bersama-sama peserta konvoi sebelum bergerak semula ke Kampus Induk.

DSC 0472

DSC 0223

Dr. Musa dalam ucapan beliau menggesa agar program seumpama ini dijadikan medium untuk para peserta yang terlibat untuk beramal sambil beriadah secara sihat.

“Malah, program ini juga akan dapat mengeratkan ukhwah antara semua kampus yang terlibat dan membuka peluang kepada peserta untuk sama-sama membantu mereka yang kurang bernasib baik melalui aktiviti-aktiviti amal yang disediakan sepanjang konvoi ini diadakan,” kata Musa.

“Saya turut mencadangkan agar program seumpama ini dijalankan setiap enam bulan sekali supaya nilai-nilai positif yang terbentuk seperti kesepakatan antara kakitangan serta pelajar kampus, amalan memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan dan membudayakan aktiviti sihat di kalangan warga USM dapat diteruskan,” tambah beliau.

DSC 0258 tile

DSC 0326 tile

Bagi Pengarah Kampus Kejuruteraan pula, beliau sangat berbangga dan berbesar hati dengan usaha yang dilakukan oleh Pusat Islam ini dalam meraikan usia USM 50 tahun.

“Saya akui, bukan mudah untuk menganjurkan serta menguruskan sebuah konvoi yang disertai oleh 100 buah motosikal dari satu negeri merentasi satu negeri yang lain dengan matlamat untuk membuat kebajikan atas nama Islam dan USM.

“Oleh yang demikian, tahniah saya ucapkan atas usaha setiap peserta yang telah bersatu hati dalam menjayakan konvoi ini dan saya turut berharap agar program ini menjadi contoh kepada lebih banyak aktiviti seumpamanya di masa akan datang,” kata Azazi.

DSC 0447 tile

DSC 0553 tile

DSC 0857 tile

Antara aktiviti yang dijalankan sepanjang konvoi selama tiga hari dua malam ini adalah seperti melawat Rumah Anak Yatim Abu Nur, Pengkalan Hulu yang juga rumah angkat kepada Pusat Islam USM, menziarahi pesakit OKU dan asnaf di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) dan menyampaikan sumbangan amal kit Maidaturrahman kepada yang individu yang terpilih.

Turut sama hadir adalah Pengarah Pusat Islam, Ustaz Mohammad Shukri Osman, Dekan Pusat Pengajian Kejuruteraan Kimia, Profesor Ir. Dr. Zainal Ahmad dan Ketua Penolong Pendaftar, Pejabat Pendaftar Kampus Kejuruteraan, Dr. Amir Imran Zainoddin.

Teks: Siti Faizah Abdul Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman