EKSPEDISI 3 PUNCAK-3 MALAM-13 PENDAKI: TRANS-YYBTN
CAMERON HIGHLANDS, 4-7 April 2019, Seramai 13 peserta yang terdiri daripada staf dan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya merentas hutan demi menawan tiga puncak gunung di Banjaran Titiwangsa iaitu Gunung Yong Yap, Bubu dan Tok Nenek atau lebih dikenali sebagai Trans-YYBTN dalam kalangan para pendaki. Keseluruhan pendakian mengambil masa selama empat hari tiga malam.
Ekspedisi pengembaraan pada kali ini cukup mencabar kerana pada waktu itu informasi melalui media massa tentang ramalan kaji cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia melaporkan bahawa cuaca di sekitar kawasan ekspedisi akan mengalami hujan dan ribut. Dalam pada itu juga, ada laporan kes kehilangan pendaki Gunung Yong Yap yang masih belum ditemui sehingga ke hari ini.
Justeru, pelbagai perasaan bercampur baur dalam jiwa para peserta ekspedisi pada kali ini. Cabaran pendakian tidak sekadar diukur pada ketinggian dan jauh laluan trek yang hendak ditempuhi, tetapi turut bergantung pada sejauh manakah kecekalan dan keazaman para pesertanya demi mencapai misi masing-masing.
Gunung Yong Yap ialah puncak pertama yang dituju oleh 13 peserta ekspedisi anjuran Kelab Pendakian dan Perkhemahan Universiti Sains Malaysia (HACUS). Pendakian bermula di Perkampungan Orang Asli Sungai Renggil, (Pos Renggil) Cameron Highlands. Para peserta menaiki kenderaan pacuan empat roda sepanjang perjalanan ke kawasan Perkampungan Orang Asli Sungai Renggil. Kemudian, semua peserta mengatur langkah dengan berjalan dan menggalas beg masing-masing untuk sampai ke kaki gunung bagi memulakan pendakian pada hari pertama. Sememangnya penat dan sesekali timbul perasaan menyesal dan perit apabila perjalanan yang jauh terpaksa dilalui dengan penuh sabar. Sepanjang perjalanan, dentuman bunyi guruh seolah-olah memberikan isyarat bahawa awan tidak mampu lagi bertahan dengan air yang disimpannya lalu ia dimuntahkan menjadi hujan. Semua peserta disimbahi hujan lebat yang turun mencurah-curah. Laluan trek menjadi semakin licin dan masing-masing perlu lebih berwaspada. Cuaca juga berubah menjadi semakin dingin dan pergerakan pendakian menjadi agak perlahan. Kira-kira tiga jam perjalanan, para peserta berhenti rehat di Kem Simpang Y sebelum meneruskan perjalanan ke Kem Agas yang terletak pada ketinggian 1,200 meter. Di situlah tempat para peserta berkhemah dan bermalam pada episod pertama pendakian.
Ekspedisi pada hari kedua diteruskan ke Puncak Gunung Yong Yap. Pada hari kedua ini sememangnya mencabar kerana pergerakan melawan graviti beserta laluan pacak yang semakin curam dan berakar dengan beban yang terpikul di bahu masing-masing. Jurupandu bagi ekspedisi ini ialah Encik Solehudin yang lebih mesra disapa dengan panggilan Abang Yo mengingatkan peserta agar lebih berhati-hati mengatur langkah supaya tidak tersalah teknik untuk mengimbangi badan bagi mengelakkan sebarang kecelakaan. Pendakian diteruskan sehingga ke Simpang Bubu iaitu persimpangan antara Gunung Yong Yap dengan Gunung Bubu. Semua peserta meneruskan pendakian dengan penuh keazaman sehinggalah sampai ke Puncak Gunung Yong Yap dan berkhemah di situ.
Keesokan harinya, pada ketinggian 2,168 meter, semua peserta dikurniakan dengan hamparan pemandangan suasana pagi di Banjaran Titiwangsa yang cukup memukau! Semua peserta begitu teruja dan terpana dengan keindahan ciptaan Yang Maha Berkuasa. Ia antara nikmat dan kepuasan bagi setiap pendaki. Justeru, ekspedisi pengembaraan menjelajahi gunung-ganang menjadi aktiviti yang mampu memberikan kesedaran dan keinsafan tentang kebesaran Tuhan Yang Maha Agung. Puncak gunung-ganang yang diselaputi awan tebal memberikan suatu perasaan kagum dengan kekuasaan Tuhan.
Dari Puncak Yong Yap, pengembaraan diteruskan pada hari ketiga ke Gunung Bubu. Ekspedisi ini mengambil masa sekitar tujuh ke lapan jam untuk tiba di puncak Gunung Bubu dengan menuruni lurah yang curam dan diteruskan lagi dengan meniti lereng gunung dan mendaki semula ke laluan pacak yang cukup menyeksakan. Sakit di bahagian otot paha, betis dan lutut tidak terluah dengan kata-kata. Ada juga peserta yang tertanggal kuku kaki. Aduh, sakitnya! Lebih-lebih lagi apabila menuruni lereng curam semasa menghala turun sungguh azab kerana kuku yang telah sakit ditambah pula dengan stamina yang semakin berkurang, amat meletihkan. Dalam pada masa yang sama juga para peserta perlu berhati-hati supaya tidak tergelincir.
Seterusnya, ekspedisi dari Puncak Bubu dengan ketinggian 1,657 meter terus ke Simpang V dan di situ peserta berhenti seketika untuk mendapatkan sumber air tambahan. Catatan pendakian diteruskan lagi ke Pucak Kayung dan seterusnya ke Puncak Kambing untuk bermalam di sana. Pada hari terakhir, ekspedisi ini diteruskan dari Puncak Kambing terus ke Puncak Gunung Tok Nenek dengan ketinggian 1,916 meter. Semua peserta seperti mendapat semangat dan azam baharu untuk menamatkan ekspedisi ini dan perjalanan diteruskan ke Kem Berlumut, Kem Hari, Kem Kicap, Kem Lengkuas dan seterusnya ke Kem Simpang Yong Yap Tok Nenek (Simpang Y). Dan, alhamdulillah semua peserta akhirnya sampai ke Pos Renggil pada jam 7.30 malam. Dari situ, semua peserta menggunakan kenderaan pacuan empat roda untuk keluar dari Perkampungan Orang Asli.
Terhuyung-hayang masing-masing semasa melalui laluan berliku sepanjang masuk dan keluar dari Sungai Renggil ke Perkampungan Orang Asli dimaksudkan. Ia mencatatkan suatu memori yang cukup indah dan berharga. Alhamdulillah, nilai sebenar #HealthyUSM (Physical & Mind), Sustainable Lifesytle (#USMFit) dan #USMGreen sekali gus dapat direalisasikan oleh semua peserta ekspedisi.
“Pendakian bukan sekadar menawan puncaknya akan tetapi pengalaman pada liku-liku perjalanannya”
Peserta Ekspedisi Trans-YYBTN:
Kampus Kejuruteraan:
(1) Fadzley Hasan (Unit Sukan, Kejuruteraan)
(2) Rosmanizam Salehhoddin (Jabatan Pembangunan)
(3) Nor Hasnira Harun (Kejuruteraan Aeroangkasa)
(4) Aida Shuhaida Mustafa (Bahasa, Literasi dan Terjemahan)
(5) Mohamad Hekarl Uzir (Kejuruteraan Kimia)
(6) Khairul Zaman Zakaria (Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral)
(7) Nik Mohd Harith Nik Hassan (Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral)
(8) Muhamad Alif Noor Azhar (Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral)
(9) Muhamad Nur Arif Ahmad (Kejuruteraan Sungai dan Saliran Bandar)
(10) Muhammad Khairul Nizam Razali (Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral)
(11) Mohamad Afif Mohamad Fauzi (Kejuruteraan Bahan dan Sumber Mineral)
(12) Nur Juliana Ahmad Johari (Kejuruteraan Aeroangkasa)
Kampus Kesihatan:
(1) Nurin Syazwana Mohd Nazrin (Sains Kesihatan)
Teks disediakan oleh: Aida Shuhaida Mustafa
Foto oleh: Mohamad Hekarl Uzir, Khairul Zaman Zakaria, Nor Hasnira Harun & Alif Azhar