ICT4U 2019 HIMPUN PAKAR ICT SELURUH NEGARA
SEBERANG JAYA, 6 November 2019 – Pusat Pengetahuan, Komunikasi & Teknologi (PPKT) Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) telah berjaya menganjurkan persidangan peringkat kebangsaan bertajuk Conference on ICT for University (ICT4U) 2019 pada 5 hingga 6 November 2019 bertempat di The Light Hotel, Bandar Sunway, Seberang Jaya, Pulau Pinang.
Dengan tema "Inovasi & Amalan Terbaik dalam bidang ICT", seramai 181 orang telah hadir menjayakan persidangan ini yang terdiri dari pengucaptama, pembentang kertas kerja, peserta-peserta dari 15 universiti awam, dua universiti swasta, dua agensi kerajaan serta 15 rakan industri membincangkan dan berkongsi ilmu dan pengalaman masing-masing meliputi aspek pengurusan ICT, Enterprise Architecture, rangkaian, keselamatan ICT, telekomunikasi, IOT, Data Raya, Pangkalan Data serta Campus Solution.
Di dalam persidangan tersebut sejumlah 24 kertas kerja, tiga ucaptama, satu forum dan dua bengkel teknikal telah dibentangkan. Pencapaian ini seharusnya dibanggakan dalam usaha menghimpunkan pakar-pakar pengamal ICT dari seluruh malaysia bagi berkongsi pengalaman serta hasil solusi “amalan terbaik” mereka dalam pentadbiran ICT di peringkat universiti-universiti di Malaysia.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dr. Yusminar Yunus, Pengarah Bahagian Kerajaan Digital, Sektor Teknologi Maklumat & Komunikasi, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU).