Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

TANGANI, KAWAL DAN CEGAH COVID 19 MELALUI PROGRAM MALAYSIA PRIHATIN

DSC 3084

NIBONG TEBAL, 19 Mac 2021 – Program Malaysia Prihatin yang berlangsung di Kompleks Dewan Kuliah, Kampus kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) hari ini merupakan sebahagian daripada usaha pihak berwajib dalam menangani, mengawal dan mencegah wabak Covid 19 di Malaysia.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Datuk Dr. Mansor Othman berkata, usaha ini penting dalam memastikan keselamatan rakyat adalah terpelihara disamping mengekalkan pertumbuhan ekonomi di dalam negara kita.

“Jelajah Program Malaysia Prihatin diharap dapat menjadi medium yang berkesan kepada rakyat dan mereka yang hadir berhubung inisiatif dan langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam menangani pandemik yang sedang melanda dunia pada hari ini,” kata beliau.

DSC 3123

DSC 3089

“Malah, kehadiran dan penglibatan Wakil-wakil dari pelbagai Agensi Kerajaan Persekutuan dan Negeri ke program ini juga diharap dapat memperluaskan lagi capaian maklumat tentang situasi semasa Covid 19 terutamanya mengenai isu dan cabarannya kepada masyarakat di luar sana,” tambah Mansor.

Pada majlis tersebut, Mansor turut memberitahu bahawa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga telah melancarkan beberapa program bagi membantu pelajar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) sepanjang pandemik Covid-19 melanda negara yang telah menelan belanja sebanyak lebih RM260.8 juta.

“Antaranya adalah melalui bantuan pelan data dan peranti kepada para pelajar dari keluarga B40; Bantuan One-off RM50 kepada 76,153 pelajar baharu Sesi Akademik 2020/2021 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM3.8 juta; Bantuan Pelan Data B40 kepada 320,396 pelajar dengan peruntukan sebanyak RM24 juta; dan Bantuan Peranti B40 bersasar yang melibatkan peruntukan sebanyak RM13 juta kepada 8,965 pelajar,” kata beliau.

DSC 3146

Dalam pada itu, Timbalan Naib canselor Akademik dan Antarabangsa USM, Profesor Dato' Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah di dalam majlis yang sama berharap agar program seperti ini dapat diketengahkan lagi di masa akan datang dengan penglibatan bersama pelajar dan kakitangan di semua kampus.

“Program ini bukan sahaja berfaedah, malah, taklimat dan forum yang disampaikan secara langsung dapat menambah lagi pengetahuan semua yang hadir akan peranan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) sepanjang tempoh pandemik ini,” kata Farhan.

Selain daripada itu, beliau turut menyatakan kesediaan USM untuk menyokong usaha KPT dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat terutamanya melalui pelajar-pelajarnya selepas ini.

DSC 3073

DSC 3163

Turut hadir adalah Datuk Seri Dr. Mazlan Yusoff, Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia; Profesor Dr. Nor Azazi Zakaria, Pengarah Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia; dan Dr. Haniff Hassan, Pengarah, Jabatan Penerangan Negeri Pulau Pinang.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman