Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

ADAPTOR MESIN RUMPUT CIPTAAN PENYELIDIK PPKM-RISDA KURANGKAN 70% GETARAN DAN RISIKO JANGKITAN HAVs

Picture3

HULU PERAK, 30 November 2021 – Kerjasama sekumpulan penyelidik daripada Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik (PPKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berjaya mencipta adaptor atau penyesuai mesin rumput untuk mengurangkan 70% getaran ketika menggunakannya.

“Selain daripada itu, melalui keupayaan mesin ini dalam mengurangkan getaran semasa digunakan, ia juga akan dapat mengelakkan risiko dijangkiti penyakit Hand-arm Vibration syndrome (HAVs),” kata Ketua Projek Dr. Ahmad Zhafran Ahmad Mazlan.

Picture4

Menurut Zhafran, pada awal kajian, Projek dengan nama penuh Universal Suspended Handle Adaptor for Petrol Engine Grass Trimmer to Reduce the Hand-Arm Vibration Among RISDA Smallholders and Workers ini dikhususkan kepada pekebun kecil RISDA sahaja.

Namun demikian, beliau menyatakan bahawa projek ini boleh digunapakai dan terbuka untuk dipasarkan kepada sesiapa sahaja yang mempunyai keperluan dalam menggunakannya terutamanya di kalangan pengguna-pengguna mesin rumput.

“Kajian ini telah dijalankan selama setahun iaitu sejak Oktober 2020 hingga September 2021 dengan jumlah kos RM115,350 yang dibiayai sepenuhnya melalui Geran Malaysia Social Innovation (MySI) oleh Kementerian Sains dan Teknologi (MOSTI),” kata beliau.

“Idea asal di sebalik ciptaan ini pula adalah milik Profesor Dr. Zaidi Mohd Ripin dan sekumpulan penyelidik daripada TheVibrationLab, PPKM USM yang melihat potensi serta keperluan dalam kita membangunkan projek ini pada tahun lepas,” tambah Zhafran.

Picture1

Zhafran turut memaklumkan bahawa baru-baru ini, beberapa adaptor mesin rumput ini telah mula diserahkan kepada sebilangan pekebun kecil daripada kawasan ladang getah pekebun kecil RISDA di beberapa daerah di Perak iaitu Hulu Perak, Taiping dan Kuala Kangsar.

Picture2

“Saya berharap dengan adanya adaptor ini, para pekebun kecil RISDA dapat menggunakan mesin rumput dengan lebih selesa bagi urusan penjagaan kebun getah mereka dan mengurangkan risiko kepada penyakit yang berkaitan dengannya di masa akan datang,” kata Zhafran lagi.

Selain daripada beliau, antara lain yang terlibat di dalam penyelidikan ini adalah:

Pensyarah PPKM

Profesor Dr. Zaidi Mohd Ripin

Dr. Ooi Lu Ean

Pegawai Penyelidik PPKM

Wan Mohd Amri Wan Mamat Ali

Baharom Awang

Pembantu Penyelidik PPKM

Mohamad Syazwan Md Isa

Pegawai RISDA Daerah Hulu Perak

Mohd Zulkhairi Mohd Radzi

Pegawai RISDA Daerah Taiping

Noor Azizah Binti Yusop

Pegawai RISDA Daerah Kuala Kangsar

Azlina Binti Mislan

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Ihsan PPKM