Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

INNOTO4COM, BUKAN PEMENANG PINGAT EMAS ITEX 2021 SEMATA – KETUA PENYELIDIK

5292d9b7 b4f7 4c7b a3fb 5e9ea3d022ac

NIBONG TEBAL, 27 Disember 2021 – INNOTO4COM atau Innovative Tool for Composite Machining ciptaan empat orang pensyarah dari Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik (PPKM) bukan sekadar Pemenang Pingat Emas di International Invention, Innovation & Technology Exhibition (ITEX) 2021!

Berikut adalah seperti yang ditegaskan oleh Ketua Penyelidik projek tersebut, Ts. Dr. Muhammad Hafiz Hassan ketika diminta untuk mengulas akan kemenangan beliau serta pasukan yang terdiri daripada Dr. Muhammad Fauzinizam Razali, Dr. Mohd Syakirin Rusdi dan Dr. Sareh Aiman Hilmi Abu dalam pertandingan itu baru-baru ini.

Picture2

Pasukan Penyelidik INNOTO4COM yang telah memenangi Pingat Emas di ITEX 2021, dari kiri: Dr. Muhammad Fauzinizam Razali, Dr. Mohd Syakirin Rusdi, Ts. Dr. Muhammad Hafiz Hassan dan Dr. Sareh Aiman Hilmi Abu

“Sebagai pensyarah di Universiti Sains Malaysia (USM), kita bukan sahaja menjalankan tugas untuk mendidik para pelajar semata-mata, tetapi juga memainkan peranan lain iaitu sebagai penyelidik yang sentiasa bersedia dalam membantu masyarakat di luar sana,” kata Hafiz.

“Oleh yang demikian, inovasi ataupun penambahbaikan yang dicipta walaupun hanya satu sudah tentu dapat membantu meringankan beban masing-masing terutamanya mereka dari kalangan yang terjejas serta memerlukannya,” tambah beliau.

Malah, Hafiz turut berharap agar novel mata gerudi yang dicipta untuk memesin bahan komposit pelbagai guna ini dapat membantu dalam pengendalian kerja komposit serta pertukangan kayu mereka yang menggunakannya, agar produk yang dihasilkan lebih berkualiti sehingga setaraf dengan hasil kerja di peringkat antarabangsa.

“Selain daripada itu, penggunaan mata gerudi ini juga dapat mempercepatkan proses pengeluaran jika digunakan pada Computer Numerical Control dan pengguna tidak perlu menukar ganti mata gerudi dari proses penggerudian (drilling) ke proses pemangkasan (trimming),” kata beliau lagi.

“Sepanjang 10 tahun berada di dalam Industri Aeroangkasa, saya sering berdepan dengan masalah di mana pengeluaran produk tidak dapat memenuhi target mingguan yang ditetapkan.

“Selepas diselidik, ianya berpunca daripada masalah di mana setiap proses pengeluaran ini memerlukan penggunaan mata gerudi berbeza untuk permesinan bahan komposit termaju iaitu Carbon fiber reinforced plastic atau Glass fiber reinforced plastic yang secara langsung telah melambatkan proses pengeluaran,” tambah Hafiz.

“Hal ini menyebabkan saya terfikir dengan idea untuk menggabungkan semua proses-proses permesinan yang sedia ada kepada pengeluaran satu komposit panel yang dapat meningkatkan produktiviti serta mengurangkan kos melalui penggunaan mata gerudi berbeza kepada satu sahaja,” tambah beliau lagi.

Picture1

Walaupun masih dalam fasa prototaip dan belum dikomersialkan, INNOTO4COM yang menelan belanja RM4000 ini telah disasarkan penggunaannya di dalam syarikat-syarikat multinasional seperti Spirit Aerosystems Malaysia Sdn Bhd, Composites Technology Research Malaysia Sdn Bhd dan dan Aerospace Composites Malaysia Sdn Bhd.

“Pengusaha Industri Kecil Sederhana (IKS) ukiran kayu, pembuatan bot, pembuatan perabot yang menggunakan bahan Komposit, serta pertukangan kayu yang menggunakan Computer Numerical Control (CNC) Router juga akan turut menerima manfaat dalam ciptaan ini nanti,” kata Hafiz.

“Inovasi projek ini melalui daya tahan mata gerudi yang lebih lama ini akan dapat mempercepatkan masa serta proses pengeluaran masing-masing, sangat berbeza dengan yang apa yang telah dipraktikkan sebelum ini,” tambah beliau.

Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Sumbangan Ts. Dr. Muhammad Hafiz Hassan dan Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanik