Skip to main content

Kampus Kejuruteraan

MPDJLU CAKNA DAN PRIHATIN DALAM MEMBANTU MANGSA BANJIR NEGARA

jpg 20220120 094938 0000

PAHANG, 8 Januari 2022 – Seramai 32 orang sukarelawan yang terdiri daripada exco dan penghuni Majlis Penghuni Desasiswa Jaya Lembaran Utama (MPDJLU) terlibat dalam misi Sukarelawan Banjir 2.0 anjuran desasiswa tersebut yang telah berlangsung pada 1hb dan 2hb Januari 2022 di Kampung Karak Setia, Karak, Pahang baru-baru ini.

Misi kali ini yang turut disertai oleh Penggawa, Mazlifendirizan Md Rejab dan Penolong Penggawa Desasiswa Jaya Lembaran Utama (DJLU), Hasliza Mat Saad adalah kali kedua seumpanya dijalankan selepas Misi Banjir 1.0 anjuran Majlis Penggawa dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) pada 23hb hingga 25hb Disember lalu di Selangor.

Aktiviti sukarelawan ini turut mendapat sokongan penuh daripada pihak pengurusan desasiswa melalui penyediaan semua kelengkapan dan keperluan operasi pembersihan sebelum mereka bertolak ke lokasi yang telah ditetapkan.

jpg 20220120 094833 0000

Misi Banjir 1.0 di Selangor sebelum ini melibatkan pemberian barangan sumbangan serta operasi pembersihan rumah mereka yang terjejas termasuk rumah salah seorang sukarelawan yang merupakan penghuni Jaya Lembaran Utama (JLU) dan beliau juga turut terlibat dalam misi tersebut.

Pengalaman melalui Misi Banjir 2.0 dilihat lebih mencabar di mana keadaan rumah-rumah di kawasan tujuan iaitu Kampung Karak Setia, masih dipenuhi dengan lumpur dan selut yang tebal selain misi kali ini sendiri lebih berfokuskan kepada operasi-operasi pembersihan.

IMG 20220120 WA0015

Selain daripada itu, menyedari akan kesukaran mendapatkan bekalan makanan ketika banjir dan berlandaskan kepada cabaran yang pernah dilalui ketika misi banjir 1.0, pasukan memasak turut diwujudkan bagi menampung keperluan makanan sepanjang berada di lokasi.

Malah, perkakasan memasak serta bahan mentah telah disediakan terlebih dahulu sebelum bertolak di mana selain daripada pengalaman melibatkan diri di dalam operasi banjir, misi ini juga secara tidak langsung dapat mewujudkan pengalaman memasak sukarelawan dan melatih mereka untuk memikul tanggungjawab yang berbeza dalam satu masa.

IMG 20220120 WA0016

Peluang dan pengalaman melalui aktiviti kesukarelawanan seperti ini diharap dapat menjadikan pelajar kita lebih cakna dengan isu negara selain prihatin serta dapat mencurahkan khidmat bakti dalam membantu mereka yang terlibat dengan bencana.

Permulaan tahun 2022 yang penuh dengan cabaran dan pengalaman di dalam misi ini juga pastinya dapat menyuntik semangat para sukarelawan dan akan menjadi motivasi untuk mereka kekal aktif dalam meneruskan aktiviti lain bagi tahun ini.

Teks adalah sumbangan Hasliza Binti Mat Saad. Beliau merupakan Penolong Penggawa di Desasiswa Jaya Utama dan Lembaran, Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia.