BHEPA KAMPUS KEJURUTERAAN ANJUR PENDIDIKAN KEWANGAN UNTUK MAHASISWA
NIBONG TEBAL, 29 Mac 2023 – Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (BHEPA) bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Kampus Kejuruteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Parit Buntar hari ini telah melaksanakan Program Pendidikan Kewangan.
Program ini dianjurkan khusus kepada mahasiswa Kampus Kejuruteraan di Dewan Seminar Kampus untuk mendidik mereka akan kepentingan pengurusan kewangan secara baik serta berhemah demi masa depan yang lebih selesa.
Penceramah jemputan, Encik Zainal Abdul Halim yang merupakan Pegawai Khidmat Pelanggan KWSP Parit Buntar hadir menyampaikan ceramah dan berkongsi tips kewangan kepada seramai 85 orang mahasiswa yang hadir serta terlibat dalam program ini.
Antara objektif lain program adalah untuk memberi manfaat kepada mahasiswa dan seterusnya mewujudkan ruang serta peluang kepada mereka untuk mendaftar serta membuka akaun awal dengan pihak KWSP.
Teks dan Foto: Mohd Hafiz Ali Mohd Anuar