Skip to main content

KELESTARIAN ALAM BUKAN SEKADAR TREND TAPI SATU TANGGUNGJAWAB

 IMG 20230620 103944

NIBONG TEBAL, 23 Jun 2023 – Perpustakan Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya mengangkat tema ‘Green is not a trend, it's a responsibility’ yang menekankan bahawa kehijauan bukan sekadar trend tapi satu tanggungjawab melalui Minggu Kelestarian yang diadakan baru-baru ini.

Ketika berucap dalam upacara penutup minggu tersebut, Timbalan Ketua Pustakawan Perpustakaan Kejuruteraan, Puan Radia Banu Jan Mohamad berkata, program ini diadakan sebagai satu usaha ke arah meningkatkan penglibatan staf dalam aktiviti kelestarian.

“Perkara ini secara tidak langsung juga telah menunjukkan sokongan kami dari perpustakaan khususnya akan inisiatif USM dalam menyemarakkan semangat warganya sempena bulan kelestarian yang diadakan setiap tahun,”

BeFunky collage 2

Selain daripada itu, beliau turut menyatakan bahawa bidang kepustakawanan, istilah kelestarian serta sustainability itu sendiri sudah sebati dan dekat dengan diri masing-masing.

“Malah, International Federation of Library Associations and Institutions (IFLA) juga telah mewujudkan objektif bagi menyokong amalan kelestarian melalui inisiatif ke arah Green Library dan seterusnya menjadi tunjang kepada kerjaya setiap pustakawan,” tambah Puan Radia Banu.

Menurut Puan Radia Banu juga, sebagai usaha kecil dalam memastikan elemen kelestarian ini dilaksanakan secara berterusan, lima program berkaitan telah diwujudkan untuk dijalankan di peringkat jabatan universiti.

BeFunky collage 3

Blank 4 Grids Collage 5

 

“Kelima-lima program ini merupakan anjuran bersama antara Jawatankuasa Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) dan Jawatankuasa Kelestarian Kampus Kejuruteraan.

“Program-program tersebut adalah Sesi Kelestarian Ilmu 1 (Perkongsian Amalan Terbaik Penjagaan Alam Sekitar) dan Sesi Kelestarian Ilmu 2 (Jurutera Membaca), aktiviti tie and Die Alami Serta Perkongsian Hidup Cancer Survivor, Aktiviti Walk and Plog Englib, dan aktiviti Pengumpulan Minyak Masak Terpakai,” tambah beliau.

Minggu Kelestarian Perpustakaan Kejuruteraan ini telah diadakan dari 12 Jun hingga 22 Jun 2023 yang lalu.

Teks: Siti Faizah Abd Halim / Foto: Ihsan Perpustakan Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia