ENAM KAWAH BUBUR ASYURA DIAGIH KEPADA WARGA KAMPUS KEJURUTERAAN
NIBONG TEBAL, 9 Ogos 2023 - Enam kawah bubur Asyura yang dimasak secara gotong royong di Pusat Islam Kampus Kejuruteraan hari ini berjaya diedar dan diagihkan kepada komuniti besar kampus di sini hari ini.
Sebanyak 600 bekas bubur asyura diedarkan kepada mereka dari kalangan Jemaah masjid, pelajar kafa serta tadika, petugas sukarelawan, ahli jawatankuasa program dan para penyumbang.
Pengarah Kampus, Profesor Datin Dr. Azlina Harun @ Kamaruddin, yang hadir bersempena dengan sesi lawatan kampus ke Pusat Islam berkata ini adalah antara aktiviti yang boleh mengeratkan hubungan sesama warga kampus.
“Memandangkan proses menghasilkan bubur ini memakan masa yang cukup lama, kesempatan waktu tersebut boleh diambil oleh setiap individu yang terlibat untuk mengukuhkan lagi silaturahim atau mewujudkan rangkaian hubungan baharu sesama mereka,” tambah Azlina.
“Saya berharap agar program-program sebegini akan tetap diteruskan di masa akan datang supaya ianya kekal relevan, terutamanya dalam generasi muda kita pada hari ini terutamanya dari kalangan pelajar.
“Tekankan juga simbolik di sebalik penganjuran aktiviti mengacau bubur asyura ini yang sememangnya sudah sinonim dengan masyarakat kita terutamanya dalam bulan Muharam,” ujar beliau.
Menurut Penolong Pengarah Kanan Pusat Islam Kampus Kejuruteraan, Ustazah Nor Fadhilah Wahab, seramai 50 orang petugas sukarelawan terlibat dalam aktiviti mengacau bubur asyura kali ini dan jumlah keseluruhan sumbangan yang diterima untuk menjayakannya adalah berjumlah RM1,600.
Teks: Siti Faizah Abd Halim/Foto: Muhammad Taufik Abdul Rahman