PERUTUSAN NC 2016-APEX 2020: MEREALISASIKAN UNIVERSITI GLOBAL
NIBONG TEBAL, 16 Januari 2016 – Lebih 400 staf Universiti Sains Malaysia (USM) menghadiri pembentangan Perutusan Naib Canselor 2016 yang bertajuk APEX 2020: Merealisasikan Universiti Global yang berlangsung di Auditorium, Kampus Kejuruteraan, USM di sini semalam.
Menurut Naib Canselor, Profesor Dato’ Dr. Omar Osman berkata, USM terus menempa nama di persada dunia dengan penerokaan e-book, penawaran program pesisir di dalam dan luar negara.
“Pelbagai kejayaan dan penghasilan graduan melalui kerjasama dengan pelbagai pihak dari luar negara bagi ijazah pertama seperti sains perubatan, mahu pun penawaran ijazah tinggi”, kata Omar.
Tambahnya, kerjasama turut dilakukan dalam penyelidikan sains penuaan dan pengukuhan dengan institusi dan pelbagai pihak di Jepun.
“Sementara itu, bagi program latihan, Pusat Inovasi dan Produktiviti Pentadbiran Awam (PIPPA) sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menjalankan kolaborasi antarabangsa di negara-negara Timur Tengah seperti Qatar dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Turki dan yang terbaharu di Eropah”, kata Omar lagi.
Pada majlis yang sama, Naib Censelor USM turut menyampaikan watikah pelantikan kepada semua dekan, pengarah, penyelaras dan penggawa bagi pelantikan tahun 2016 sehingga 2018, Kampus Kejuruteraan.
Majlis turut diserikan dengan persembahan multimedia dan penyampaian cenderahati kepada mantan Pengarah Kampus, Profesor Dr. Zainal Arifin Mohd Ishak sebagai tanda penghargaan terima kasih kepada beliau sepanjang menerajui Kampus Kejuruteraan bermula Januari 2013 sehingga Disember 2015.
Yang hadir sama dalam majlis tersebut ialah Timbalan Naib Canselor, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat, Profesor Dato’ Dr. See Ching Mey, Pendaftar USM, Profesor Dr. Abd Aziz Tajuddin, Pengarah Kampus, Kampus Kejuruteraan, Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah, dekan-dekan pusat pengajian dan pegawai-pegawai universiti.
Teks: Norafiza Osman / Foto: Bani Faidzzainami Baniyamin